Friday, January 1, 2010

PENGENALAN
Intipati kajian ini lebih memfokuskan tentang konsep estetik dan pengaruh pada rekabentuk mihrab di beberapa buah masjid tua di provinsi Acheh. Justeru, isu dasar yang menjadi perhatian ialah meneliti ciri-ciri rekabentuk mihrab kajian dalam pelbagai aspek seperti bentuk, motif, media, teknik, warna dan pengaruh yang teradun di dalamnya.
Sebahagian pendapat mengatakan bahawa mihrab adalah tradisi Nasrani yang pada zaman Nabi Muhammad adalah dilarang. Ia sejajar dengan kenyataan Muhammad Nasib Ar-Rifa’i (2000) yang menegaskan bahawa, “Mihrab bukanlah ruangan khusus tempat berdiri imam, sebab ruang khusus ini sebenarnya mencontoh dari tempat penyembelihan binatang yang ada di gereja-gereja kaum Nasrani.” Pembinaan mihrab ini turut mendapat tentangan daripada Khalifah Umar bin Abd al-Aziz kerana disifatkan menyerupai niche yang berada dalam gereja.
Imam az- Zarkasyi berpandangan bahawa mendirikan mihrab di dalam masjid adalah makruh. Namun, mazhab Syafie, Hanafi dan Maliki bersepakat dengan mengatakan pembuatan mihrab dibolehkan dalam senibina dalaman sebuah masjid (Budiman Mustofa, Lc., 2007: 60). Pendapat ketiga-tiga mazhab ini lebih maslahat untuk dijadikan sandaran kerana keberadaan mihrab di dalam sesebuah masjid hanyalah sebagai simbol penanda arah kiblat.
Di dalam Al-Quran, perkataan mihrab disebut sebanyak lima kali iaitu empat dalam bentuk tunggal dan satu dalam bentuk jamak. Perkataan tersebut tertera dalam beberapa surah yang bermaksud:
Maka Dia (Allah) Menerimanya dengan penerimaan yang baik, Membesarkannya dengan pertumbuhan yang baik dan Menyerahkan pemeliharaannya kepada Zakariyya. Setiap kali Zakariyya masuk menemuinya di mihrab (kamar khusus ibadah), dia dapati makanan di sisinya. Dia berkata, “Wahai Maryam! Dari mana ini engkau peroleh?” Dia (Maryam) menjawab, “Itu dari Allah.” Sesungguhnya Allah Memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki tanpa perhitungan.
Ali ‘Imran, 37:54
Kemudian para malaikat memanggilnya, ketika dia berdiri melaksanakan shalat di mihrab, “Allah menyampaikan kabar gembira kepadamu dengan (kelahiran) Yahya, yang membenarkan sebuah kalimat (firman) dari Allah, panutan, berkemampuan menahan diri (dari hawa nafsu) dan seorang nabi di antara orang-orang saleh.”
Ali ‘Imran 39:55
Maka dia keluar dari mihrab menuju kaumnya, lalu dia memberi isyarat kepada mereka; bertasbihlah kamu pada waktu pagi dan petang.
Maryam 11:305
Mereka (para jin itu) bekerja untuk Sulaiman sesuai dengan apa yang dikehendakinya di antaranya (membuat) gedung-gedung yang tinggi, patung-patung, piring-piring yang (besarnya) seperti kolam dan periuk-periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah wahai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.
Saba’ 13:429
Dan apakah telah sampai kepadamu berita orang-orang yang berselisih ketika mereka memanjat dinding mihrab?
Shad 21:454
DEFINISI MIHRAB
Terdapat beberapa definisi tentang istilah mihrab. Berikut adalah himpunan takrifan mihrab berdasarkan kepada beberapa pandangan:
Satu bahagian daripada binaan dalaman masjid, Mihrab dibina di bahagian hadapan sekali di tempat imam bersembahyang. Di setengah tempat, mihrab dibina dalam keadaan menonjol sedikit ke hadapan dan dihiasi dengan ayat-ayat al-Quran di sekelilingnya.
Satu tempat berupa ceruk yang menganjur ke dalam, merupakan tempat imam memimpin solat dan sekaligus berfungsi sebagai pemandu arah kiblat.
Sebuah bangunan khusus yang menempel ke bangunan masjid.
Istana atau tempat Imam melakukan shalat atau memimpin shalat.
Ruang hadapan rumah atau tempat paling tinggi dalam sesebuah rumah. Ia juga memberi erti lengkungan yang terdapat di dalam kuil dan juga gereja.
A semicircular niche in the center of the qibla wall.
Berdasarkan definisi yang dikemukakan, didapati tidak terdapat kesepakatan oleh ahli atau pakar-pakar bahasa dalam mentafsirkan perkataan mihrab. Ini sejajar dengan petikan kenyataan Shaikh Ali Mohamad Mokhtar (2003:121) dalam bukunya bertajuk Peranan Masjid dalam Islam iaitu:
Tiada satu kamus Arab pun yang mempunyai idea tentang perkembangan sejarah bagi perkataan mihrab. Mihrab dalam bentuknya yang melengkung tidak diketahui dan tidak digunakan kecuali pada zaman Al-Walid bin Abdul Malik. Mihrab yang melengkung bentuknya bukanlah menjadi keperluan yang asasi, malahan cukup dengan menentukan kedudukannya di dinding bahagian tengah masjid. Model-model awal bagi mihrab mempunyai bentuk lelangit atau seperti gawang siput. Dari sini sebahagian ulama menghubungkan antara perkataan mihrab dan muhar iaitu gawang siput.
Secara harfiah mihrab bererti gedung yang tinggi dan pagar. Menurut sebahagian ulama, mihrab merupakan tempat memerangi syaitan dan hawa nafsu. Kata mihrab menurut pandangan ini diambil daripada kata al-harbu yang ertinya peperangan. Pandangan sebahagian ulama lain mengatakan bahawa tempat dalam masjid itu dinamakan mihrab kerana dalam tempat itu kebenaran manusia dapat ditempa dalam usaha menghindarkan diri daripada kesibukan duniawi.
Ahli bahasa samiyat (kitab-kitab suci) lebih berpendapat bahawa mihrab adalah lafaz hamiri yang masuk ke Yaman melalui jalan Habsyah. Ini bermakna, perkataan mihrab diambil daripada perkataan mikrab yang bererti gereja, tempat ibadat atau huniah.
Subscribe to:
Posts (Atom)